Wednesday, September 06, 2006

~Corat-coret Halilah~

Dulu saya selalu tertanya-tanya, mengapa saya menulis? Apa tujuan utama saya menulis? Ada seorang rakan berkata kepada saya, “Akak nak mula menulis ni. Nak kaya cepat!”
Jawab saya, “Saya tak pernah fikir nak jadi kaya.”
“Eh, inilah peluangnya nak jadi kaya. Akak nak tulis banyak-banyak, nak cari duit banyak-banyak. Janganlah fikir nak zuhud saja. Kita perlu kaya supaya boleh bersedekah dan beramal jariah.” Lebih kurang begitulah rakan saya itu membalas kata-kata saya.

Ya, saya tidak menyangkal pendapat rakan saya itu. Tapi pada saya, bukan orang kaya saja yang boleh beramal jariah dan bersedekah. Rakan saya itu mungkin lupa, penulis yang tak kaya pun boleh buat sedekah, buat amal jariah. Harga buku yang sekian-sekian itu apalah sangat jika dibandingkan dengan sesuatu yang bermanfaat yang kita sumbangkan dalam penulisan kita. Oleh itu, pastikan apa yang ditulis itu nilainya lebih besar daripada harga buku itu.

Bukan itu sahaja, penulis juga boleh meniupkan semangat jihad melalui penulisan! Macam yang Faizal Tehrani buat tu. Jangan lupa, mata pena lebih tajam daripada mata pedang!

Kalau tak mampu hulur wang ringgit sebagai sedekah, kita buat amal dengan tenaga kita. Malah, senyum pun sedekah juga.

Sebenarnya saya tidak pernah terfikir menjadi kaya dengan menulis. Walaupun memang diakui ramai penulis yang menjadi kaya, tetapi itu bukan tujuan saya. Namun seandainya ditakdirkan saya kaya kerana menulis, alhamdulillah saya menerima segala rezeki dan kesenangan yang dikurniakan olehNya.

Pada saya cukuplah saya seronok apabila orang seronok membaca karya saya. Cukuplah apabila orang mendapat manfaat daripada hasil penulisan saya. Saya cukup puas hati seandainya hasil titik peluh saya menulis dapat membantu keluarga saya. Saya tidak pernah terfikir hendak mewah dengan menulis. Cukuplah sekadar hidup selesa.

Tulislah sesuatu yang bermanfaat. Selamat berjuang. Selamat beramal jariah.

3 Comments:

Blogger mohamad kholid said...

Jangan kita lupa - tanggungjawab sebagai penulis sangat besar. Akan dipersoalkan kelak jika kita mengajar yang mungkar...

Semoga terus lestari Halilah

6:15 PM  
Blogger Unknown said...

Encik Kholid, terima kasih.

4:42 AM  
Blogger MYA MARJA said...

Mahu kaya jiwa, kaya harta atau kaya pahala? Ketiga-tiga daku mahu... Ketiga-tiganya perlukan pengorbanan untuk mendakapnya.

6:08 PM  

Post a Comment

<< Home