Sunday, August 13, 2006

~PENYIASAT EKSTROVERT~

ANTARA RASA INGIN TAHU DAN MENCINTAI BUKU

Ada seorang pendidik menyatakan pada saya – “Cerita-cerita penyiasatan ala Hardy Boys sudah ketinggalan zaman. Kanak-kanak tidak berminat dengan kisah-kisah demikian.” Pandangan itu ada benarnya – jika kita membaca siri itu dalam terjemahan yang dangkal. Jika kita membaca dalam versi asal berbahasa Inggeris – ia tetap menarik sebagaimana kita membaca Heidi atau Nancy Drew.

Menulis cerita kanak-kanak terutama siri penyiasatan bukanlah mudah. Pertama penulis perlu menghadkan keupayaan kanak-kanak. Tak boleh dengan mudah ke sesuatu tempat. Tidak boleh keluar terlalu lewat atau pun menyiasat sesuatu berhari-hari. Bukankah ini Malaysia – bukan US atau London yang ada cuti musim panas atau cuti musim sejuk. Dan berbagai-bagai tidak dan tidak dan tidak… Atas sebab-sebab itu ramai teman penulis yang enggan menulis cerita kanak-kanak. Belum lagi untuk menyelusuri minda kanak-kanak – kreatif, bertenaga dan sentiasa teruja, rasa ingin tahu yang membuak-buak selain jiwa mereka yang masih ‘murni’.

Saya menulis untuk kanak-kanak kerana rasa tanggungjawab saya – mereka ingin membaca, malah sanggup menekuni pembacaan kulit ke kulit. Sungguh pun begitu tidak banyak bahan bacaan bermutu untuk mereka. Apatah lagi bahan bacaan dalam bahasa Melayu. Jika mereka tidak dididik membaca seawal mungkin – kelak dewasa nanti mereka akan menjadi sebahagian statistik orang yang hanya membaca dua buah buku setahun. Itu pun cukup baik, malah ada seorang teman tidak pernah membeli hatta sebuah buku pun setahun!

Inilah tanggung jawab penulis – mengambil bahagian dalam kempen gerakan membaca. Menulis dalam bahasa Melayu – jangan sampai lambakan buku bahasa Inggeris akan memenuhi setiap ruang di kedai-kedai buku.

Penyiasat Ekstrovert bukan sekadar siri penyiasatan sahaja. Saya terapkan ciri utama setiap siri penyiasatan itu – tentang alam sekitar negara kita yang semakin sakit. Tentang tanggung jawab sosial seorang anggota masyarakat dan tentang tanggungjawab insan kepada Tuhan. Ia bukan sekadar buku cerita tetapi sebagai wadah pendidikan – bukan menasihat, sebaliknya mengajak pembaca berfikir secara kreatif.

Bermula dengan Terowong Rahsia yang diilhamkan dari suasana sekitar Pekan Kuala Kubu Bharu yang bersejarah, saya mengadaptasikan kisah Tentera Tikus yang menjadi gerakan peperangan gerila paling berkesan di Vietnam. Kemudian Sesat di Bukit Fraser atas pengalaman sendiri melihat gerakan mencari dan menyelamat kehilangan empat kanak-kanak di Bukit Fraser yang mengundang episod cemas ketika menemui kesan-kesan kencing dan najis seladang di Denai Bishop. Manakala Serangan Amfish pula cereka sains fiksyen yang menerapkan kepentingan ekosistem hutan paya air tawar. Satu-satunya yang menerapkan bahaya penagihan dadah dan pengedarannya – hasil pengalaman bekerja di Agensi Anti Dadah Kebangsaan selama 14 tahun saya terapkan dalam Lolongan Misteri. Terakhir dalam siri ini untuk tahun 2006, Pedang Yamasita merupakan gabungan pengalaman meredah hutan bakau di Tanjung Piai, Johor dan sejarah pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Bukankah buku cerita ini akan secara tidak lansung akan mendidik kanak-kanak untuk mencintai negaranya – alam sekitar yang indah, perpaduan antara kaum yang tiada taranya di negara lain dan tidak mengabaikan aspek buku cerita sebagai bahan berhibur.

Lalu saya bertanya kembali kepada teman pendidik tadi, “bagaimana semudahnya mahu mendidik kanak-kanak? Apakah dengan nasihat yang berupa leteran atau bercerita dengan moral pengajaran yang baik?”

Mohamad Kholid Hamzah
Cameron Highlands
Maklum balas boleh hubungi saya di aimmira@tm.net.my

5 Comments:

Blogger Faizul bin Kamaruddin bin A. Manan bin KH Bendar said...

saya dah send manuskrip untuk adam kecil harap kak nor sudah dapat email saya fkamaruddin@yahoo.com

12:17 AM  
Blogger athirah said...

cerita yang menarik saya amat2 suka kan nya

9:59 PM  
Blogger athirah said...

saya berharap kesemua buku dalam malaysia ini seperti buku penyiasat ekstrovertkerana cerita nya sangat menyeronokkan

10:03 PM  
Blogger siska said...

buku pts one memang best..saya harap mereka akan mencipta tajuk baru pada buku penyiasat ekstrovert

10:37 PM  
Blogger Henna said...

saya ada 5 buku penyiasat ekstrovert.
dan 1o keluaran PTS yang lain. erm.. pasal penyiasat ekstrovert.bila nak keluar siri baru tentang penyiasat ekstrovert? kalau keluar, saya akan terus beli.

2:48 AM  

Post a Comment

<< Home