Tuesday, August 22, 2006

~Tentang... My Angel~

Sebuah cerita ringkas menampilkan impian si kecil yang kehilangan kasih sayang dan keyakinan diri. Kerana itu dia mencari angel untuk melindunginya. Dia ingin rasa 'selamat dan disayangi' kerana dia gagal mencari 'angel' dalam dirinya sendiri.

My Angel bermula lama dahulu. Namun, 9 muka surat, terhenti berbulan-bulan. Sehinggalah saya merasa tercabar dengan kata-kata seorang kawan dan kegagalan menyiapkan manuskrip lain, saya bertekad untuk menebusnya melalui My Angel. Mungkin benar kata Hamka, cita-cita mampu menetas belukar membuat jalan (sebenarnya dah tak ingat... tapi alah-alah begitulah maksudnya)... maka saya berjaya menambah sehingga 70 muka surat dalam masa dua hari. Kemudian dalam masa beberapa hari, saya menambah lagi sehingga 105 muka surat. Pendek kan? Hehehe... Jadi, kepada yang pernah bertanya, inilah jawapannya, My Angel bukanlah hasil 2 hari....

Angel ataupun pelindung... bukan pakwe... saya berharap pembaca tidak salah faham. Saya ingin menonjolkan kisah budak perempuan yang mencari pelindung bukan pakwe. Adakah pembaca memahami apa yang ingin yang saya sampaikan? Apabila ada pembaca mengatakan itu buku cinta, saya kecewa. Maknanya saya gagal untuk menyampaikannya dalam erti kata sebenar.... Tetapi tak apa... pada ksempatan lain, pembaca akan tahu juga... kesudahan pencarian Adilah...


-Sedikit komen berkaitan komen Mr. Love

Sebagai orang biasa dan baru merangkak dalam bidang penulisan, saya tidak percaya yang kita perlu melalui setiap perkara sebelum menulisnya. Saya tidak fikir kita perlu jadi banduan untuk menyelami hati seorang banduan dalam erti kata sebenar. Saya tidak fikir kita perlu menjadi doktor untuk menulis tentang kerjaya doktor. Kita hanya perlukan kajian mendalam, bayangkan dalam ilusi dan cuba meletakkan diri sebagai watak yang sedang ditulis. Kerana itu saya percaya, penulis hadir dalam setiap watak yang ditulisnya. Saya adalah Adilah, saya adalah Hakim, saya adalah mama Adilah dan saya juga adalah Rita serta semua watak yang lain.

Kerana itu, saya rasa tidak adil Mr. Hero melabelkan penulis muda yang baru menapak tidak tahu apa-apa. Pembacaan dan kajian adalah pengalaman. Pengalaman tidak semestinya dalam bentuk nyata. Seorang penulis yang baik dapat menulis dengan baik dengan memaksimakan semua pengetahuan yang dia ada baik yang dipelajari secara formal mahupun tidak formal dan pengalaman yang diperoleh secara nyata mahupun tidak nyata. Menulis sebenarnya adalah sebahagian proses pembelajaran. Dari semasa ke semasa penulis belajar. Belajar tentang aspek yang perlu diketahui untuk diolah sebagai latar belakang watak, jalan cerita dan sebagainya.

Jadi, mungkin dalam timbunan sampah yang keluar ada kristal tersembunyi. Kisah itu mungkin remeh tetapi mungkin ada sesuatu yang berharga dalamnya. Sometimes, we just have to look deeper.

Rasanya, cukup buat setakat ini. Kepada yang membaca My Angel, terima kasih. Semoga masa anda tidak terbazir dengan membaca tulisan saya.


-Aizam Aiman-

Sunday, August 13, 2006

~PENYIASAT EKSTROVERT~

ANTARA RASA INGIN TAHU DAN MENCINTAI BUKU

Ada seorang pendidik menyatakan pada saya – “Cerita-cerita penyiasatan ala Hardy Boys sudah ketinggalan zaman. Kanak-kanak tidak berminat dengan kisah-kisah demikian.” Pandangan itu ada benarnya – jika kita membaca siri itu dalam terjemahan yang dangkal. Jika kita membaca dalam versi asal berbahasa Inggeris – ia tetap menarik sebagaimana kita membaca Heidi atau Nancy Drew.

Menulis cerita kanak-kanak terutama siri penyiasatan bukanlah mudah. Pertama penulis perlu menghadkan keupayaan kanak-kanak. Tak boleh dengan mudah ke sesuatu tempat. Tidak boleh keluar terlalu lewat atau pun menyiasat sesuatu berhari-hari. Bukankah ini Malaysia – bukan US atau London yang ada cuti musim panas atau cuti musim sejuk. Dan berbagai-bagai tidak dan tidak dan tidak… Atas sebab-sebab itu ramai teman penulis yang enggan menulis cerita kanak-kanak. Belum lagi untuk menyelusuri minda kanak-kanak – kreatif, bertenaga dan sentiasa teruja, rasa ingin tahu yang membuak-buak selain jiwa mereka yang masih ‘murni’.

Saya menulis untuk kanak-kanak kerana rasa tanggungjawab saya – mereka ingin membaca, malah sanggup menekuni pembacaan kulit ke kulit. Sungguh pun begitu tidak banyak bahan bacaan bermutu untuk mereka. Apatah lagi bahan bacaan dalam bahasa Melayu. Jika mereka tidak dididik membaca seawal mungkin – kelak dewasa nanti mereka akan menjadi sebahagian statistik orang yang hanya membaca dua buah buku setahun. Itu pun cukup baik, malah ada seorang teman tidak pernah membeli hatta sebuah buku pun setahun!

Inilah tanggung jawab penulis – mengambil bahagian dalam kempen gerakan membaca. Menulis dalam bahasa Melayu – jangan sampai lambakan buku bahasa Inggeris akan memenuhi setiap ruang di kedai-kedai buku.

Penyiasat Ekstrovert bukan sekadar siri penyiasatan sahaja. Saya terapkan ciri utama setiap siri penyiasatan itu – tentang alam sekitar negara kita yang semakin sakit. Tentang tanggung jawab sosial seorang anggota masyarakat dan tentang tanggungjawab insan kepada Tuhan. Ia bukan sekadar buku cerita tetapi sebagai wadah pendidikan – bukan menasihat, sebaliknya mengajak pembaca berfikir secara kreatif.

Bermula dengan Terowong Rahsia yang diilhamkan dari suasana sekitar Pekan Kuala Kubu Bharu yang bersejarah, saya mengadaptasikan kisah Tentera Tikus yang menjadi gerakan peperangan gerila paling berkesan di Vietnam. Kemudian Sesat di Bukit Fraser atas pengalaman sendiri melihat gerakan mencari dan menyelamat kehilangan empat kanak-kanak di Bukit Fraser yang mengundang episod cemas ketika menemui kesan-kesan kencing dan najis seladang di Denai Bishop. Manakala Serangan Amfish pula cereka sains fiksyen yang menerapkan kepentingan ekosistem hutan paya air tawar. Satu-satunya yang menerapkan bahaya penagihan dadah dan pengedarannya – hasil pengalaman bekerja di Agensi Anti Dadah Kebangsaan selama 14 tahun saya terapkan dalam Lolongan Misteri. Terakhir dalam siri ini untuk tahun 2006, Pedang Yamasita merupakan gabungan pengalaman meredah hutan bakau di Tanjung Piai, Johor dan sejarah pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Bukankah buku cerita ini akan secara tidak lansung akan mendidik kanak-kanak untuk mencintai negaranya – alam sekitar yang indah, perpaduan antara kaum yang tiada taranya di negara lain dan tidak mengabaikan aspek buku cerita sebagai bahan berhibur.

Lalu saya bertanya kembali kepada teman pendidik tadi, “bagaimana semudahnya mahu mendidik kanak-kanak? Apakah dengan nasihat yang berupa leteran atau bercerita dengan moral pengajaran yang baik?”

Mohamad Kholid Hamzah
Cameron Highlands
Maklum balas boleh hubungi saya di aimmira@tm.net.my

Thursday, August 10, 2006

~Ini memang KISAH BENAR…bukan rekaan (AZAM FARID)~

Reaksi 1

”Betulkah ini kisah benar? Macam tidak percaya aje. Masakan kedukaan begini berlaku,” tingkah salah seorang kenalan saya apabila saya menghadiahkannya buku pertama saya nomik berjudul, Azam Farid.

"Awak tidak percaya?” soal saya kembali.

“Macam tak logik. Lepas kematian, demi kematian dan dia boleh membaca seluruh Al Quran di dalam masa sehari semasa hendak mengambil ujian kelayakan sebagai hafiz Al Quran.” Rakan saya masih tidak boleh menerima kisah yang saya tulis.

“Terpulanglah kepada awak. Ini memang kisah benar.” Saya tidak mahu bertengkar dengannya.

Reaksi 2

”Syabas. Satu cerita yang membangkitkan semangat untuk terus belajar. Ia memberi pengajaran supaya berani berkorban untuk mencapai kejayaan.” Begitulah komen seorang sahabat apabila dia dan anaknya selesai membaca buku pertama saya. Saya bersyukur kepada Tuhan kerana mesej sampai kepada pembaca.

Reaksi 3

SMS: "Saya menangis beberapa kali kerana kagum dengan ketabahan budak ini. Jikalau saya menghadapi situasi ini, saya tidak tahu bagaimana hendak menghadapinya. Cerita inilah yang perlu dibaca generasi muda kerana membina jatidiri.”


Saya tersenyum apabila menerima sms ini.

Inilah beberapa maklumbalas yang saya terima mengenai karya pertama saya. Saya menghargai kesemua reaksi yang diterima kerana ia menyuntik semangat saya untuk terus berkarya. Pada mulanya saya sangat gusar tetapi dengan semangat yang diberikan Sifu PTS, Puan Ainon Mohd, saya terus yakin untuk memaparkan kisah ini. Saya semakin yakin untuk mengenengahkan kisah-kisah yang dapat membentuk jatidiri para remaja khususnya. Saya sayangkan remaja. Mereka adalah pelapis yang akan terus mempertahankan agama, bangsa dan negara kita dari terus dijajah.

Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada warga PTS yang telah banyak memberi saya peluang dan dorongan utntuk terus menulis. Insya-Allah, saya berdoa agar Tuhan memberi saya kudrat untuk terus menulis dan menyumbang sesuatu yang bermanfaat sebelum kedua mata saya tertutup buat selama-lamanya.

Saya juga bersyukur kerana empat buku saya sudah berada di pasaran. Menulis bersama suami, kami merancang untuk terus menghasilkan novel-novel bermutu.Cita-cita untuk terus menyampaikan ilmu, sudah tercapai sedikit demi sedikit. Semoga lebih ramai penulis akan lahir hasil didikan PTS...Hidup PTS...

Cetusan rasa: Ida Rizyani Tahir

Tuesday, August 08, 2006

~Catatan Ida Munira~

Menulis bukan perkara yang mudah. Hanya berlaku bila ada kesanggupan yang berturun naik cerlangnya. Alhamdulillah, selama beberapa tahun ini, hati saya berhasil bagi menjadi seorang penulis biarpun belum begitu berjaya, saya tetap percaya penulisan itu sendiri tersangat bererti dan mengerti. Memasuki alam penulisan, saya terlebih dahulu meminati puisi lebih daripada genre yang lain. Bagi saya kitalah puisi, biar apa yang dituliskan itu bukan puisi atau kehidupan itu sendiri tidak terkerling apa itu puisi.

Apapun, yang tepat ingin saya katakan di sini sebagai penulis, kita seringkali tidak dapat menjadi seorang yang terbaik biarpun kita cuba melakukannya. Terkadang ia bagaikan norma dan rencah kejadian kita sendiri. Saya sendiri, setelah berhasil menerbitkan buku hasil biaya sendiri (daripada pinjaman dan biasiswa pelajaran) iaitu kumpulan puisi Pendatang Malam (2004) dan antologi cerpen Salju Jabal Musa (2005) dan diantologikan bersama puisi-puisi lainnya di dalam beberapa antologi puisi yang lain. Belum cukup bagi suatu kepuasan, tetapi cukup baik bagi menandai kesyukuran.

Apatah lagi, sejak kebelakangan ini, tercipta period yang begitu menduga, novel sulung yang ditulis dengan penuh hati, disalah ertikan antara akal insan dan pengertian pegangan itu sendiri. Namun, saya dan penulis lain yang mungkin pernah menghadapinya, jangan mudah kalah. Tanpa kritikan, kita tidak ke mana. Tetapi alangkah baiknya kritikan itu bersifat membina bukan raut hentaman yang mampu menjatuhkan air muka orang lain.

Sebagai penulis juga adalah sebaiknya kita berfikir sesuatu yang lebih baik dan dihormati dan bukan terus menyebut kesalahan lalu orang lain yang tidak sengajakan biarpun sudah dilalukan ampun maaf. Mungkin dari segi lain, kita memikirkan yang taraf kita lebih baik daripada orang lain lalu sewenang-wenangnya, kita menyebut kecacatan itu di mana-mana. Sebagai penulis, kita menarikan karektor maruah dalam tinta pena kita, namun adalah lebih baik kita bukan sahaja mempertahankan maruah hasil kita mahupun diri kita sendiri, tetapi yang paling bermaruah ialah mengambil kira maruah orang lain juga.

Pada rakan-rakan penulis lain, PTS One adalah tapak permulaan terbaik bagi kita mengasah bakat yang dianugerahi Tuhan. Teruskanlah penulis. Satu huruf itu lebih bererti daripada segunung angan-angan.


Punya tinta mewarni duga
Ada jiwanya memuncak cita.

Salam,
Ida Munira.

Wednesday, August 02, 2006

~Tinta Nurismaliza~





Assalamualaikum...

Saya adalah penulis bagi buku KAKI BOLA. Pelik.

"Perempuan tulis buku pasal bola?" Itulah komen yang selalu saya terima daripada orang ramai ataupun pihak pembaca yang sudah mendapatkan buku KAKI BOLA. Sampaikan Shebby dan juga ahli pasukan MYTEAM juga turut mengeluarkan soalan yang sama.

Saya menulis buku itu bersama Nuriazam Ismail (Nurie).
"Adik-beradik ke?" Itu soalan yang kedua, selalu diajukan oleh orang.
Nama dia dekat-dekat dengan nama saya. Hakikatnya kami bukan adik-beradik. Kebetulan saja... Bahagian yang berkaitan dengan teknikal pasal bola dan juga lukisan, dibuat oleh Nurie.
Saya tulis bahagian yang tidak melibatkan teknikal tapi kami tiada masalah hendak bekerjasama.
Mula-mula dia tulis... lepas tu saya sambung...Pass balik pada dia, dia sambung... pastu pass balik, saya sambung pula. Begitulah ceritanya, sampai tak sedar yang cerita tu dah jadi panjang sangat.

Mengenai buku-buku yang akan datang, saya masih lagi menulis tapi kali ini mungkin secara solo. Pihak PTS memang menggalakkan semua editornya turut menulis. Ini semua demi masa depan. Takkan nak tengok orang lain saja yang terima royalti.

Sekian dulu....

P/S: Jadi, pada semua pembaca yang berminat untuk menerbitkan karya, bolehlah menghantar email kepada kami.


BAgi novel remaja, boleh hantar kepada nurismaliza@pts.com.my dan mazlia@pts.com.my.
Bagi novel kanak-kanak pula, bolehlah hantar kepada alif@pts.com.my dan rafiza@pts.com.my.

Tuesday, August 01, 2006

~Bingkisan Umi Ngah~

Petanda awal akan berakhirnya musim dingin dan akan bermulanya musim bunga adalah munculnya bunga dafodil, bercorong kuning dengan tengkuknya meliuk lentuk dibuai angin. Dafodil seringkali digunakan secara simbolik di dalam masyarakat di sebelah barat sana untuk melambangkan pengharapan atau satu permulaan yang baru.

Begitulah signifikannya bunga ini kepada diri saya sebagai pengarang buku terbitan sulung saya “Dafodil untuk Insyirah”. Peluang baik untuk keluar dari kepompong untuk menjelajah ke negara asing bagi melebarkan pengetahuan dan menimba ilmu seharusnya tidak patut kita sia-siakan. Cumanya kita perlu bijak menilai dan meneliti perkara-perkara yang boleh memesongkan kita dari tujuan asal dan juga mengganggu-gugat jati diri kita sebagai seorang yang beragama Islam.

Sesuatu kejayaan itu akan lebih bermakna dan lebih manis rasanya sekiranya ia dapat dikongsikan dengan orang lain. Maka pengalaman belajar dan melanjutkan pengajian di peringkat A-Level di Chesterfield College dan kemudian ke peringkat ijazah pertama di Sheffield telah saya jadikan sebagai latarbelakang cerita di dalam novel ini.

Episod-epsiod cerita di dalam novel ini mengandungi berbagai mesej dan peringatan yang ingin saya sampaikan secara halus kepada para pembaca. Di antaranya adalah perkara-perkara seperti permasalahan penyesuaian diri dengan teman serumah, bersifat tolak-ansur dan mengambil berat antara satu sama lain, perlunya memberi fokus kepada cita-cita dan kejayaan dalam pengajian, pergaulan di antara pelajar lelaki dan perempuan yang perlu dijaga dalam batas syarie, saranan pelajar melibatkan diri dalam kegiatan bermanfaat terutamanya aktiviti masjid dan majlis ilmu, menjaga halal haram dalam hal makan minum dan berpakaian, sikap dan cara pendekatan yang betul di dalam mencapai kecemerlangan dalam pembelajaran, pandai bergaul dengan ahli masyarakat setempat tanpa mengorbankan prinsip agama, taat dengan keputusan ibu dan ayah, tabah dalam menghadapi rintangan dan gangguan emosi dan berbagai lagi.

Selain itu, terdapat persoalan lain seperti kefahaman sempit akan ketinggian darjat latarbelakang keluarga yang masih menebal di kalangan masyarakat di Malaysia sehingga ini, yang sebenarnya tiada asas dalam ideologi yang dibawa oleh Islam ingin saya ketengahkan di dalam cerita ini.

Terdapat kesilapan teknikal semasa proses penyuntingan menyebabkan beberapa bahagian penting seperti beberapa bab sebelum watak utama dan rakan serumah melangkah ke universiti sehingga beberapa isu penting tidak dapat dimanfaati pembaca. Contohnya bagaimana watak utama dan rakan-rakan serumah mengambil langkah memperbaiki diri dengan mula berpakaian menutup aurat dan perubahan diri ini seharusnya datang dengan sendiri tanpa dipaksa-paksa, cara dan teknik pembelajaran berbeza yang mungkin boleh dimanfaatkan oleh remaja untuk berjaya dalam pembelajaran iaitu kisah watak utama dan rakan-rakan serumah di saat-saat bakal menghadapi peperiksaan penting, bagaimana konflik perhubungan dengan teman serumah(watak Muna dan Lina), akhirnya dapat diselesaikan dengan baik dalam suasana persahabatan dan penuh kasih sayang serta perpisahan yang mendatangkan kesan yang mendalam, membendung amalan suka bersekedudukan lelaki perempuan yang belum bernikah yang agak lazim berlaku di antara pelajar di luar negara(Ika dan teman lelakinya), pelajar-pelajar yang mudah hanyut dengan bahan dan media lucah yang mudah terdapat di luar negara, kebiasaan melakukan perjalanan seorang diri terutama pelajar perempuan mengundang kemungkinan berlakunya perkara buruk dan juga peristiwa-peristiwa menarik semasa watak utama mengunjungi rakannya di tempat yang dinyatakan berdasarkan peta pada awal buku. Proses penyuntingan juga menyebabkan beberapa perkara timbul seperti ralat di dalam ejaan, susunan ayat yang kurang sempurna, begitu juga perkara-perkara lain seperti ketidakselarasan lokasi dan tempat, kualiti lakaran gambar yang kurang bermutu dan mempunyai konotasi negatif yang saya amat berharap akan dapat diperbetulkan di dalam edisi di kemudian hari.

Dalam kehidupan ini kita perlu terus berbakti. Oleh itu, serba sedikit sumbangan yang boleh kita lakukan, maka kita harus cuba sedaya upaya untuk melakukannya. Dan untuk melakukan amal baik tidak akan berjaya sekiranya dilakukan secara terpancar-pancar dan seorang-seorang. Perlu kepada suatu badan atau secara berkumpulan. Untuk itu, saya menjadi ahli seumur hidup Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia(JIM) dan ahli aktif di negeri Perak. Sumbangan yang telah saya pilih adalah di dalam bidang penulisan dan beberapa hasil penulisan saya dimuatkan di dalam ruangan Jendela Hikmah dan Bicara Kalbu (Berita Harian) kelolaan Wanita JIM(WJIM). Silalah melayari

http://www.jim.org.my/

http://wadahwanita.blogspot.com/

untuk meninjau artikel-artikel bermanfaat oleh penyumbang dari kalangan ahli JIM ini yang telah dikumpulkan dari akhbar harian itu ke alamat url itu.

Akhir kalam, saya ingin juga berpesan kepada ibu bapa untuk mengawasi anak-anak mereka, juga kepada anak-anak, baik yang sedang melanjutkan pelajaran mahupun tidak, di dalam negeri mahupun di luar tanah air sana supaya jadilah seperti ikan. Bertahun-tahun lamanya berada di dasar lautan, tidak lekat garam di badan. Jadilah agama sebagai panduan hidup sepenuhnya dan iman itu sebagai pendinding daripada ancaman pengaruh yang merosakkan. Carilah ilmu supaya hidup dan diri kita sentiasa diterangi, diberi petunjuk dan limpahi hidayah oleh Allah swt. agar kita mendapat ketenangan sementara di dunia dan bakal mencapai kebahagiaan yang lebih bermakna di dunia sana, Insya Allah.

-Professor Madya Umi Kalthum Ngah-