Wednesday, September 13, 2006

~Tinta Nurie~

Salam sejahtera. Bos PTS1 suruh aku tulis dalam blog ni, jadi aku cuba walaupun tak begitu pandai menulis. Kita akan dapat ramai kawan kalau bersikap fleksibel.

Disebabkan novel kanak-kanak dan remaja PTS 1 adalah dalam bentuk penceritaan linear, maka mudah bagi sesiapa saja untuk menulis, asalkan ideanya original. Memplagiat hasil karya orang lain itu satu dosa. Dalam dunia ni banyak idea free. Melihat siput merangkak juga boleh mencetuskan idea. Apatah lagi dengan polar gelombang elektromagnetik dan broadbanding. Cuma kadangkala daya fantasi perlu mengatasi aras biasa.

Sebenarnya bukan satu fenomena ajaib pun, bila seorang pelukis seperti aku menulis novel. Juga bukan satu benda aneh dan para-normal pun bila seorang doktor haiwan melukis. Cuma, mungkin lukisan doktor haiwan itu tak setanding karya Vincent Van Gogh. Namun lukisan doktor tu tetap dianggap karya seni. (Itu pun kalau original). Persoalannya sekarang, masih wujudkah idea original pada masa sekarang? Masakan kari orang utara tentu mempunyai rasa berbeza dengan kari orang selatan. Kari tetap kari dan tidak akan bertukar menjadi karipap.

“Eh, merapu nampak…!” Ujar salah seorang pembaca yang ku kenal.


Pada hakikatnya kita akan berasa gembira bila karya kita dihayati meskipun penghayatan pembaca ada kalanya berbeza-beza, bergantung kepada imaginasi dan takat tepu masing-masing.

Aku cuba sedaya upaya menghasilkan karya penulisan yang merentas waktu. Kalau ada orang nak komen, aku lagi suka. Sebab bila dia komen, aku akan dapat satu lagi idea baru. Itu pun kalau komennya tak tipikal. Jadi, ayuh kita mengomen!

Melakukan kolaborasi menjadi kegemaran aku. Walaupun kolaborasi bermaksud subahat dengan orang jahat, aku maksudkan kerjasama yang baik! Sebenarnya kolaborasi itu bagus untuk kesihatan. Kalau sesiapa belum beli buku Kaki Bola dan Kutakluki Angkasa – Roket Gabus, tolonglah beli dan baca. Kalau malas nak baca boleh dijadikan sebagai hadiah hari jadi atau buah tangan untuk anak buah. Ataupun ada sesiapa yang cuba nak melakukan kolaborasi dengan aku, kecil tapak tangan laptop aku tadahkan.

Tidak dapat dinafikan bahawa adaptasi kecil-kecilan memainkan peranan penting bagi menggalakkan pembacaan kepada kanak-kanak. Cuba bertanya kepada mereka yang pakar di luar sana. Juga boleh bertanya kepada mereka yang berpengalaman di dalam sini. Kalau novel kanak-kanak diselitkan dengan komik ringkas pada beberapa slotnya, mata pembacanya tak mudah blur. Elok bagi kesihatan mata, sebenarnya.

“Yalah, betul kata abang. Mata saya tak pernah menipu,” balas seorang murid darjah enam yang tidak mahu namanya disiarkan. Ketika itu dia baru pulang dari berkelah di Pantai Morib bersama keluarganya.

Adik-adik sekalian, dengarlah nasihat abang. Dengan sebab itulah terhasil nomik Askar Berjalan Kaki, Impian Harlina, Tekad Khalili, Azam Farid dan Siri-siri Penyiasat Ekstrovert yang baru mencecah lima siri itu. Aku harap lepas ni ada lagi. Bagaimana? Setuju.

“Aku sedar, bukan semua orang setuju dengan pendapat aku,” getus hati kecilku.

Akhir sekali, berkenaan Misi Aurora yang cuma berasaskan kepada rumus tenaga pengikat nukleus. Kalau pelajar darjah dua pun boleh faham cerita tu, masakan tidak pelajar A Level. Strok grafik ala Jean Moebius memang ideal dengan kisah fantasi dan fiksyen sains seperti itu. Sebenarnya Misi Aurora merupakan komik paling laju yang pernah aku lukis selepas Black Hole Down Under. Sesiapa yang belum jadikan komik Misi Aurora sebagai koleksi peribadi, usah buang masa anda. Keluarkan sedikit modal. Cuma RM 7.90 sahaja. Anda pasti tidak menyesal memilikinya.

Sekarang ( 8 September 2006 ) aku sedang menyiapkan novel Kutakluki Angkasa - Space Camp dan Kapten Ariana. Sesiapa yang rasa sukar mahu mendapatkan novel-novel aku di pasaran boleh terus SMS aku dengan nombor ‘Digi-3564782’. Kalau stok aku dah habis, aku akan contact Encik Zack melalui Alif bagi menambahnya. Invois akan dikeluarkan dan royalti aku kian berkurangan setelah dikontrakan. Hahaha! Jangan segan-segan. Buat macam rumah sendiri. Selamat membaca untuk semua.


Nuriazam Ismail

Wednesday, September 06, 2006

~Corat-coret Halilah~

Dulu saya selalu tertanya-tanya, mengapa saya menulis? Apa tujuan utama saya menulis? Ada seorang rakan berkata kepada saya, “Akak nak mula menulis ni. Nak kaya cepat!”
Jawab saya, “Saya tak pernah fikir nak jadi kaya.”
“Eh, inilah peluangnya nak jadi kaya. Akak nak tulis banyak-banyak, nak cari duit banyak-banyak. Janganlah fikir nak zuhud saja. Kita perlu kaya supaya boleh bersedekah dan beramal jariah.” Lebih kurang begitulah rakan saya itu membalas kata-kata saya.

Ya, saya tidak menyangkal pendapat rakan saya itu. Tapi pada saya, bukan orang kaya saja yang boleh beramal jariah dan bersedekah. Rakan saya itu mungkin lupa, penulis yang tak kaya pun boleh buat sedekah, buat amal jariah. Harga buku yang sekian-sekian itu apalah sangat jika dibandingkan dengan sesuatu yang bermanfaat yang kita sumbangkan dalam penulisan kita. Oleh itu, pastikan apa yang ditulis itu nilainya lebih besar daripada harga buku itu.

Bukan itu sahaja, penulis juga boleh meniupkan semangat jihad melalui penulisan! Macam yang Faizal Tehrani buat tu. Jangan lupa, mata pena lebih tajam daripada mata pedang!

Kalau tak mampu hulur wang ringgit sebagai sedekah, kita buat amal dengan tenaga kita. Malah, senyum pun sedekah juga.

Sebenarnya saya tidak pernah terfikir menjadi kaya dengan menulis. Walaupun memang diakui ramai penulis yang menjadi kaya, tetapi itu bukan tujuan saya. Namun seandainya ditakdirkan saya kaya kerana menulis, alhamdulillah saya menerima segala rezeki dan kesenangan yang dikurniakan olehNya.

Pada saya cukuplah saya seronok apabila orang seronok membaca karya saya. Cukuplah apabila orang mendapat manfaat daripada hasil penulisan saya. Saya cukup puas hati seandainya hasil titik peluh saya menulis dapat membantu keluarga saya. Saya tidak pernah terfikir hendak mewah dengan menulis. Cukuplah sekadar hidup selesa.

Tulislah sesuatu yang bermanfaat. Selamat berjuang. Selamat beramal jariah.