Wednesday, July 19, 2006

~Tinta Ahmad Zafran@Armie Zafran~

Ada seorang pengunjung di blog Pn. Ainon menamakan dirinya Mr. Love, memberikan satu komen yang bagus, yang saya kira wajar difikirkan oleh golongan penulis yang mahu berjinak-jinak dan yang telah membulatkan tekad untuk terjun ke dalam dunia penulisan.

Nasihat ini sebenarnya untuk saya sendiri, saya akur, apabila telunjuk menunjuk ke arah seseorang, maka pastilah jari tengah, jari hantu dan jari manis akan menunjuk ke arah diri sendiri.

Pengunjung yang menamakan dirinya Mr Love itu memberikan komennya di bawah pos “Pasaran Novel Cinta – Update” seperti ini,

Tapi sekarang tema novel cinta tidak berkembang disebabkan semakin hari semakin ramai penulis yang masih muda dan mentah, tapi sudah menulis novel, masih anak dara, baru keluar dari alam kampung, dia sendiri belum bercinta kecuali cinta monyet di sekolah, belum berkahwin apatah lagi pernah bercerai, bermadu... tapi tulis persoalan cinta, kisah mak mentua, perkahwinan dan perceraian.

Mereka tidak membaca karya falsafah seni, tak tahu teori2 sastera, buku sejarah yg dia tahu cuma buku teks sekolah, buku-buku lain pun tak baca, cuma tengok akademi fantasia, tengok telenovela, cerita Hindustan, baca gosip majalah hiburan dan novel2 cinta Melayu.

Mereka tidak luas pergaulan, cuma berkawan dengan manusia yang sama macam dirinya, tidak kenal ramai jenis manusia, tidak berkawan dengan golongan cerdik pandai dan profesional.... tapi tulis cerita yang ada watak jurutera, doktor, peguam, bisnesman.

Mereka tidak masuk mana-mana persatuan penulis, pergi seminar sastera pun tak pernah, yang dinamakan perpustakaan peribadi pun tak ada, pergi kuliah agama pun tidak, jangankan membaca Sahih Bukhari. Ada pengarang novel cinta cuma masuk kedai buku mamak sebab nak membeli novel cinta, tak pernah masuk Pustaka Indonesia, Kinokuniya, Borders, MPH. Ada yang pesta buku pun tak pernah pergi!

Melancong keluar negeri pun mereka tak pernah, umrah belum buat, masuk wad hospital pun belum pernah, tidur dalam hotel 5 bintang pun tak pernah, masuk disko pun ta pernah, memandu 4-wheel drive pun tak pernah.

Masuk butik Armani pun mereka tak pernah, minum kopi di Starbucks pun tak pernah, naik kapalterbang pun ada yang belum pernah, kad kredit pun tak ada, borang akaun overdraf pun tak pernah tengok..... tapi tulis novel yang ada watak lelaki kaya, ada dato', ada playboy!

Ikut demo menentang Israel pun tak pernah, masuk Sahabat Alam pun tidak, membaca Al-Jazeera on-line pun tidak, menjejakkan kaki masuk mahkamah tengok macam mana sesi perbicaraan dijalankan pun tak pernah, tengok Formula-1 pun tidak, apatah lagi masuk bilik lokap balai polis.

Apa yang nak diharapkan dari pengarang2 yang macam itu? Input is equal to output. Apa yang masuk itu yang keluar. Sampah masuk otak mereka, sampah jugalah yang keluar dari otak mereka.

Kalau tema novel2 cinta Melayu bodoh lagi membodohkan, semuanya datang dari otak2 penulis yang masih mentah, masih naif, masih bodoh.

Kata-kata ini walaupun kedengaran keras dan memukul namun ada benarnya, saya sendiri turut merasa terpukul kebatang hidung. Kendati saya pernah menyertai ‘rapat umum’ sewaktu masih bergelar pelajar kampus dahulu, kami tidak diburu polis atau FRU, sebaliknya kami pula yang mengejar Pak Guard!.

Saya setuju bahawa penulis muda ini masih ramai yang belum tampil dengan idea yang bagus yang mereka utarakan dalam karya mereka. Lantaran itu ada sesetengahnya memilih genre yang hampir pada mereka iaitu genre cinta.

Saya fikir, golongan ini belum ‘matang’ lagi dalam menulis kisah-kisah cinta. Namun saya kira, menidakkan pengalaman mereka tidak wajar. Ini kerana saya yakin bahawa adanya di kalangan remaja ini yang mampu menulis kisah-kisah yang saya kira semahal semangat dan pengalaman remaja itu sendiri, berbanding penulis-penulis mapan yang sudah establish di dalam genre dunia penulisan ‘cinta’ mereka.

(Ya- ada juga penulis mapan yang menulis kisah cinta )

Ada penulis di kalangan penulis-penulis muda ini boleh menceritakan dengan baik di dalam karyanya kisah belajar melukis dengan tokoh pelukis negara serta halangan-halangan yang ditempuhi serta cabaran yang mereka sahuti untuk memenuhi impian itu. Ada pula penulis lain yang mampu menulis kisah mereka dipukul dan dibuli rakan sebaya dan ada yang sanggup belajar silat untuk mengatasinya. Ada pula yang pernah menulis kisah debaran pelajar-pelajar kemahiran dari aliran Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan yang berdebar-debar menghadapi penghakiman pertandingan Tangan Emas, di suatu pihak yang lain pula ada yang pernah punyai pengalaman getir menghadapi Pegawai Pemeriksa Dalaman yang di datangkan khas oleh Majlis Latihan Vokasional semata-mata untuk mengendos ( memberi ujian trampil) agar sijil mereka itu boleh di gunakan untuk bekerja, kisah patriotik tentang sekumpulan remaja kampung yang menyertai regimen Askar wataniah dan pengalaman mereka menjalankan latihan serang hendap, menembak laras, mencuci senjata M16, malah kisah kehilangan kelopak M16. Itu belum termasuk lagi yang mampu menulis kisah sains fiksyen tentang peperangan di sebuah planet lain dan sebagainya.

Persoalan yang harus difikirkan oleh Mr Love sebenarnya adalah, di mana kisah-kisah yang begini mampu dan dapat dipasarkan? Siapa pula penulis yang mampu menulis dan mempeloporinya setelah selama bertahun-tahun berbagai syarikat gergasi penerbitan menerbitkan kisah-kisah cinta lalu tiba-tiba pada suatu detik, khalayak pembaca meminta syarikat ini menukar selera dan menu pembaca mereka?

Saya kira untuk menjadi pengasas atau membina satu aliran baru itu sebenarnya satu cabaran. Malah Chic-lit mengambil masa 3 tahun untuk meneguh dan membina tapak genrenya sebelum muncul sebagai satu genre berpengaruh dan mempunyai alirannya sendiri. Saya kira PTS One agak berani dalam meletakkan taruhan yang besar dalam mencari dan mempelopori genre-genre baru penulisan ini.

Benar penulis-penulis muda ini ada yang malah tidak pernah menghadiri simposium-simposium seperti yang selalu diusahakan oleh badan Gapena dan sebagainya tetapi saya kira untuk mengajak penulis-penulis muda ini menyertai simposium-simposium besar itu tidak sukar, seandainya ada tajuk-tajuk simposium yang bagus untuk remaja ini yang malah di permakalah oleh penulis-penulis mapan yang pernah menulis di dalam genre remaja ini. Ini saya kira tidak sukar. Tajuknya pun tak usahlah menakutkan penulis-penulis muda ini, berikan tajuk-tajuk asas dan yang mampu difikirkan oleh mereka ini disamping di dalam masa yang sama berikan penulis-penulis remaja yang baru ini satu dorongan dan panduan yang betul dalam menuliskan karya-karya mereka.
Ya Dorongan dan Panduan.

Saya kira ada penulis penulis mapan yang mampu trampil dalam menjalankan kerja ini, malah ada yang mampu mengurus simposium-simposium yang besar. Ramai penulis-penulis baru yang menanti dalam kehausan simposium-simposium untuk mereka ini.

Saya fikir untuk menyedarkan penulis-penulis muda ini patut di beri, mereka ini juga harus dikenalkan dengan cabaran yang ada dalam dunia penulisan itu sendiri, biar mereka ini terjaga dari realiti dunia yang selama ini tidak berjalan dengan ‘mimpi2’ mereka itu. Dengan cara yang wajar.

Kerja ini berat. Kerja ini perlu kesabaran.
Kerja ini perlu pada masa dan komitmen.

-Ahmad Zafran atau Armie Zafran adalah penulis novel 40 Lukisan Hati dan Sahabat Kole Kacang.-

Monday, July 17, 2006

Catatan dari meja Farihah Iskandar…


Salam perkenalan…

Saya ni seorang yang low profile, malu rasanya nak memperkenalkan diri. Agaknya cukuplah sekadar para pembaca sekalian mengenali buku-buku saya (at least buat masa sekarang).
Saya ni boleh lah dikatakan seorang ‘bidan terjun’ dalam dunia penulisan. Sebelum ‘Dear Yayah’ dan ‘Sepasang Mata Itu…’ karya saya hanyalah tugasan karangan kreatif dalam kelas bahasa Melayu dan menjawab soalan peperiksaan. Kalau pembaca mengharapkan karya sastera ataupun penggunaan bahasa yang indah daripada saya, minta maaf banyak-banyak. Bukan saya tidak sudi tetapi saya tidak pandai bermain dengan kata-kata. Penguasaan bahasa Melayu saya tidaklah sekuat mana, kutubkhanah perbendaharaan kata saya begitu ‘limited’. Oleh itu, tulisan saya menjadi sungguh ‘simple’ tetapi saya harap mesej yang saya hendak kongsi dengan pembaca sekalian kesampaian.

“Dear Yayah’ adalah kenangan saya semasa bersekolah dahulu. Saya beruntung kerana dikelilingi oleh kawan-kawan yang menerima saya seadanya. Saya ada ‘best friend’, bukan seorang tetapi ramai. Saya hanya tonjolkan Suria kerana menulis tentang seorang lebih senang daripada menulis tentang beberapa orang. Maklumlah, kan saya dah cakap tadi, saya ni ada masalah bahasa.

“Sepasang Mata Itu…” saya tulis sebagai satu dedikasi buat seorang insan istimewa dalam hidup saya. Zet benar-benar wujud. Apabila dia melihat dan membaca buku itu, muka dia jadi ‘poyo’ (satu perkataan saya baru belajar dari Ahmad Zafran, hahaha).
Buat pengetahuan semua, ‘Dear Yayah 2’ akan muncul tak berapa lama lagi. Kena ikut queue(menurut kata editor). Tunggu ya, jangan tak tunggu. Hari tu, semasa PBAKL, ada adik-adik pembaca datang bertanya, ‘Bagaimana kami nak melanggan Dear Yayah?’. Aduh dek. Ini buku, bukan majalah yang terbit dua kali sebulan. Walau bagaimanapun, selagi ada permintaan, saya akan cuba penuhi.

Akhir kata, terima kasih PTS One kerana memberi saya peluang, juga terima kasih para pembaca kerana memberi sokongan.SmileyCentral.com

Thursday, July 13, 2006

Kartun Vs Teknologi


“Susah, budak-budak sekarang lebih suka habiskan duit mereka bagi membeli telefon bimbit, kad prabayar, DVD… mereka tak main lagi dengan komik dan kartun.” Satu hujah munasabah mengapa jualan komik dan kartun tempatan tidak selancar dahulu.
Itu yang saya dengar dan percaya selama empat tahun sebelum ini. Benar, budak-budak sekarang dalam dilema mahu menghabiskan duit mereka di mana. Sejauh manakah kebenaran hujah di atas?
Suatu ketika dahulu aliran multimedia, animasi, game, lukisan… tidak popular seperti hari ini. Malah ada antaranya satu bidang baru. Dalam kes ini, saya gelar semua ini sebagai aliran baru.
Sekiranya dahulu komik dan kartun dibaca sekadar hiburan dan dibaca untuk kita-kita sahaja, hari ini benda-benda ini diburu bagi dijadikan rujukan untuk golongan yang mengambil aliran baru ini. Ditambah pula dengan godaan hiburan barat yang semakin meluas, wujudnya golongan yang begitu ketagih mencari apa jua bentuk hiburan (termasuk komik) bagi mengisi minat mereka. Tidak hairan, mengapa komik dari luar masih berlambak berada di pasaran tempatan. Pada masa yang sama, komik dan kartun tempatan masih berjuang keras bagi melawan komik dari luar ini.
Jadi, isu godaan teknologi terkini sudah membataskan pasaran komik dan kartun tempatan adalah imaginasi dan alasan sahaja! Ianya tidak benar.
Jepun, sebuah negara maju. Tetapi dianggap sebagai syurga komik dunia. Malah, pendapatan pelukis komik di sana mengatasi pendapatan tauke kilang buat telefon bimbit di sana. Lihat, komik dapat mengalahkan telefon bimbit.
Jadi, komik dan kartun masih mampu menggoda orang ramai. Asalkan kita mampu membina satu ‘jenama’ pada karya komik dan kartun kita.


- Alif Firdaus Azis (Pencinta kartun dan komik sedunia) adalah penulis novel Untuk Syampoo, Bergaduh dan Menari, Rahsia Firdaus dan komik Orang Kuat.-

Wednesday, July 12, 2006

Pengumuman

Disini saya ingin menjemput saudara/saudari untuk menyertai sesi Autograph di pesta buku Popular Di Kuantan Megamall pada:

Tarikh: 8 September 2006 (Jumaat)
Masa: 10am-10pm

Tarikh: 10 September 2006 (Ahad)
Masa: 10am-10pm (Kecuali: 2.30-4.00pm)

Tempat: 2nd Concourse, Ground Floor, Berjaya Megamall, Kuantan

Sila beritahu pihak PTS One jika saudara/saudari bersetuju.
Sokongan anda amat diperlukan.

Monday, July 10, 2006

Ingin Menyumbang Cerita?

Ingin menjadi penulis? Inilah peluang yang terbaik untuk anda. Bagi sesiapa yang berminat untuk menjadi penyumbang cerita bagi siri Adam Kecil, sila emelkan nama anda ke adam@ashadi.zzn.com

TQ.

Wednesday, July 05, 2006

Demam Bola

Keterangan lanjut boleh lihat di laman web rasmi PTS

Tuesday, July 04, 2006

Cik Lia Masih Editor PTS


Di sini saya ingin mengumumkan yang kami semua berjaya memujuk Cik Lia meneruskan perkhidmatannya dengan PTS One. Cik Lia tak jadi resign. YES!

~Manager~